Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Azeez Rahim berkata beliau telah mengarahkan pihak pengurusan Tabung Haji untuk mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan pembelian tanah milik 1MDB seperti yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi, katanya beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menjawab dakwaan berkenaan.

"Saya dah suruh pihak pengurusan Tabung Haji mengeluarkan kenyataan sebentar lagi. Mereka akan jawab nanti... biar mereka selesaikan dahulu," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.

Semalam, Azeez menerusi akaun Twitternya telah pun menafikan dakwaan tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan mereka secepat mungkin.



Posting itu kemudiannya dibalas oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memuji tindakan pantas itu.


Ia kemudiannya dibalas sekali lagi oleh Azeez.


Katanya jika dakwaan itu lambat dijawab, ianya akan membuka ruang untuk pihak tertentu memutarbelitkan dakwaan itu.

Difahamkan pihak pengurusan Tabung Haji ketika ini sedang bermesyuarat.

Baru-baru ini, laman blog The Benchmark serta beberapa blog lain telah memuat naik beberapa dokumen yang memaparkan Tabung Haji telah membeli dua plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan bukannya wang kerajaan.

Blog itu juga mendakwa ‘orang dalam’ Tabung Haji mengesahkan bahawa satu perjanjian 'fast track' telah dibuat di mana ia mendapat kelulusan menteri dalam masa kurang dua minggu dan wang pembelian perlu dibayar kepada 1MDB secara penuh.

Dokumen itu juga ia menyatakan bahawa Tabung Haji telah membayar lebih kurang RM2,860 sekaki persegi (RM194 juta) untuk plot tanah pertama, dan untuk plot tanah kedua, Tabung Haji dikatakan bersetuju membayar RM3,900 sekaki persegi (RM578 juta) secara tunai.