Anggota polis Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar meninggalkan penjara masing-masing Jumaat selepas dilepaskan dan dibebaskan daripada hukuman serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar mengesahkan Azilah meninggalkan Penjara Kajang pada pukul 11.45 pagi selepas selesai proses dokumentasi.

Koperal Sirul Azhar pula dibebaskan dari Penjara Tapah.

"Azilah balik dari Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk beberapa proses dokumentasi serta mengambil barang kepunyaannya sebelum meninggalkan penjara bersama keluarganya," katanya Zulkifli ketika dihubungi di sini.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada sebelah pagi, melepaskan dan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada tuduhan membunuh Altantuya tujuh tahun lepas.

Tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar terhadap pensabitan dan hukuman.