Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof menjangka Parlimen akan dibubarkan selepas berakhirnya Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013.

Jangkaan itu bagaimanapun, katanya, adalah pandangan peribadi beliau.

Abdul Aziz percaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan menasihati Yang Di-pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat selepas selesai LIMA 2013 kerana pameran itu telah dirancang sejak dua tahun lalu.

"Ini logik saya lah, takkan lah dia (Najib) yang pernah jadi Menteri Pertahanan, banyak kali terlibat dalam LIMA, tiba-tiba nak bubar sebelum LIMA," kata Aziz ketika ditemui media selepas taklimat bersama Pengarah-Pengarah Pilihan Raya zon utara di Langkawi.

Pengerusi SPR itu mengulas desas-desus yang mengatakan ramai pelabur dari luar negara akan menarik diri jika Parlimen dibubarkan sebelum LIMA 2013.

LIMA 2013 akan berlangsung selama lima hari bermula 26 Mac hingga 30 Mac ini.

Menurut Abdul Aziz, Najib sangat arif mengenai kepentingan pelaburan asing yang akan dijana sempena penganjuran pameran berkenaan.

Justeru, Aziz secara peribadi yakin PRU-13 akan berlangsung selepas penganjuran LIMA 2013.

Sebelum ini ada desas-desus Parlimen akan dibubarkan pada hari ini namun ramalan itu tidak berlaku.