Usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak bakal dibacakan untuk kali kedua pada Selasa di Parlimen.

Bacaan kali kedua itu akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau memberi jaminan bahawa kedudukan asal Sarawak dan Sabah akan dikembalikan sama seperti perjanjian Malaysia.

“Jadi pada tahun ini selepas kerajaan Pakatan Harapan memerintah kurang setahun, kita telah mengambil satu langkah besar untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak ke posisi seperti tahun 1963.

“Ia di mana Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan adalah terdiri daripada 11 negeri-negeri di Malaya dan kedua-dua negeri di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

“Dengan ini kita dapat lihat dengan jelas bahawa Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu States of Malaya, Sabah dan Sarawak yang mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak dalam perlembagaan kita,” kata beliau ketika ditemubual wartawan Astro AWANI.

Susulan itu, beliau menjelaskan sesi taklimat bersama ahli Parlimen Sarawak dan Sabah berjalan dengan lancar.

Walau bagaimanapun, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof meluahkan pandangan beliau berkenaan bacaan kedua yang bakal dibacakan pada esok.

Beliau berkata isu ini akan tetap dibahas namun menetapkan bahawa pandangan setiap pemegang taruh perlu didengar sebelum pindaan diteruskan.

“Kerajaan melantik beberapa komiti untuk meneruskan pindaan ini dan melibatkan semua pemegang taruh daripada Sarawak dan Sabah malah Semenanjung yang ia perlu dianggotai secara saksama oleh ketiga-tiga wilayah.”

“Mengapa kalau kita setakat pinda tetapi masih ada banyak perkara lain lagi yang berhubung kait dengan status?” kata beliau.

Justeru, GPS tetap meminta bahawa usul pindaan ditangguhkan dahulu buat seketika.

Hal ini kerana bagi beliau sekalipun pindaan itu dibuat ia tidak akan memberi sebarang makna kerana masih ada beberapa lagi perkara lain yang bersangkut paut dengan perkara berkenaan.