Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-69 Badan Peguam hari ini meluluskan usul bagi mendesak Kerajaan agar memansuhkan Akta Hasutan 1948.

"Ini bukan satu isu baharu yang diperjuangkan oleh Majlis Peguam kerana kami telah menjalankan kempen berterusan agar Akta Hasutan dimansuhkan," kata Presiden Majlis Peguam yang baharu, Steven Thiru dalam satu sidang media pada Sabtu.

Selain itu, AGM berkenaan turut mengundi menolak usul untuk mendesak bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menarik balik dan meminta maaf atas kenyataannya yang dibuat pada 11 Februari lalu kerana mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Steven, dalam pengundian usul tersebut, sebanyak 1,194 ahli telah mengundi untuk menolak usul tersebut manakala hanya sebanyak 161 ahli mengundi untuk menyokong usul itu.

"Dalam perbahasan mengenai usul ini... telah dinyatakan bahawa Christopher bukannya mempersoalkan institusi kehakiman, sebaliknya (mempersoalkan) pihak pendakwaan kes tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Steven turut mengulas tentang keputusan AGM yang akur dengan injuksi mahkamah yang menghalang sebarang usul mengenai peguam, Muhammad Shafee Abdullah berkaitan dengan kes liwat Anwar.

Bagaimanapun, katanya Majlis Peguam akan mengkaji tindakan yang boleh diambil terhadap Muhammad Shafee termasuk merujuk perkara ini dengan Lembaga Disiplin.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad membenarkan injunksi sementara secara ex-parte (sebelah pihak) bagi menghalang Majlis Peguam daripada memulakan sebarang usul untuk membincangkan perihal tindakan Muhammad Shafee yang mempunyai hubung kait dengan kes liwat Ketua Umum PKR itu.

Mengulas lanjut tentang AGM kali ini, Steven berkata kehadiran yang dicatat amat membanggakan iaitu sebanyak 1,906 ahli Badan Peguam.