Badan Peguam Malaysia mengalu-alukan peletakan jawatan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Presiden Badan Peguam Malaysia George Varughese dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini malam tadi berkata dengan peletakan jawatan mereka, boleh dianggap bahawa pelantikan mereka sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Raus dan Zulkefli telah mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun dengan peletakan jawatan mereka berkuatkuasa pada 31 Julai, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Varughese berkata oleh kerana Raus (Ketua Hakim Negara ketika itu) dan Zulkefli (Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu) pada mulanya dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan, dan selepas itu, masing-masing terus menyandang jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, ini menimbulkan persoalan sama ada mereka juga telah meletak jawatan sebagai hakim tambahan.

"Badan Peguam Malaysian Bar pada setiap masa mengambil pendirian bahawa pelantikan - sebagai hakim tambahan, dan terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan - secara terang-terangan tidak mengikut perlembagaan.

"Atas sebab inilah, kita sejak awal lagi kami meminta Raus dan Zulkefli menolak pelantikan sebagai hakim tambahan, dan untuk terus memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, dan dengan itu memfailkan tindakan undang-undang memohon pengisytiharan bahawa pelantikan tersebut adalah tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah," kata beliau.

-- BERNAMA