Badan Peguam Malaysia menggesa Badan Kehakiman untuk mempertimbangkan semula arahannya berhubung pemfailan kes sivil menerusi sistem e-filing sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari.

Presidennya Salim Bashir berkata ini kerana ahli Badan itu berdepan kesukaran untuk mematuhi tarikh akhir bagi pemfailan kes baharu dan dokumen lain di mahkamah menerusi e-filing susulan pelaksanaan perintah itu.

"Badan Peguam Malaysia amat bimbang dengan laporan diterima daripada firma-firma guaman berhubung masalah dihadapi mereka berhubung e-filing, yang menurut Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, perlu diteruskan seperti biasa, seperti dinyatakan dalam arahan mereka kepada mahkamah dan Majlis Peguam, pada 17 Mac.

"Sehubungan itu, Badan Peguam Malaysia menggesa Badan Kehakiman untuk mempertimbangkan arahan e-filing itu, dan memohon Badan Kehakiman untuk menggunakan budi bicara secara adil dan berbelas kasihan berhubung tempoh bagi permohonan selepas 31 Mac, dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi sejumlah besar peguam, yang tidak dapat membuat permohonan secara e-filing bagi dokumen, notis dan lainnya dalam tempoh yang ditetapkan mengikut undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Salim berkata Badan Peguam Malaysia difahamkan bahawa susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, sejumlah peguam tidak dapat hadir secara fizikal ke pejabat, untuk tujuan mengambil fail, dokumen dan menggunakan fasiliti untuk e-filing seperti diarahkan, sementara ada yang tidak dapat berhubung dengan anak guam untuk mendapatkan arahan.

Beliau berharap Badan Kehakiman menimbangkan kebimbangan dan rayuan ahli Badan itu.

"Kami berharap ahli kami akan diberikan ruang untuk menangani situasi yang dihadapi ini," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac mengumumkan Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 sehingga 31 Mac untuk mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA