Pihak AmBank atau Bank Negara Malaysia (BNM) tidak boleh mendedahkan wujud atau tidak nombor akaun yang didakwa Wall Street Journal (WSJ) milik Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bank-bank berkenaan pelu merahsiakan maklumat kerana perkara tersebut tertakluk kepada undang-undang di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

"Tiada sebab Najib atau mana-mana menteri Kabinet yang dilihat boleh mengeluarkan arahan kepada AmBank atau BNM supaya mengeluarkan rekod bank seseorang individu. BAFIA halang AmBank dan BNM dedah pemilik akaun kontroversi tersebut.

"Jadi tidak ada apa yang boleh mendesak kedua-dua bank itu untuk mendedahkan apa sahaja yang tertakluk di dalam Akta BAFIA, jika didedah, kepercayaan rakyat termasuk dunia kepada sistem perbankan negara akan musnah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul Khalid mengulas kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang menggesa AmBank serta BNM mengesah atau menafikan sama ada nombor akaun yang didedahkan WSJ yang didakwa atas nama Najib benar-benar wujud.

Jelas Rafizi, langkah ini dapat memberi gambaran terbaik kepada rakyat sama ada Najib benar-benar terlibat atau tidak dalam pengambilan dana berjumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Abdul Khalid merupakan seorang ahli korporat dan pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma syarikat kewangan yang diselia kerajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pada tahun 1981, Abdul Khalid menjadi terkenal setelah menyelesaikan 'serangan Subuh' di London Stock Exchange, yang mana PNB mencatat agihan 51 peratus syer di syarikat perindustrian British iaitu Guthrie kurang daripada dua jam.

Abdul Khalid kemudian menjadi CEO Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd dari tahun 1995 sehingga 2003.

Dalam pada itu ujar Abdul Khalid, kenyataan Rafizi sekali gus dilihat mengelirukan orang ramai serta sengaja menimbulkan persoalan yang tidak harus terjadi.

Bagaimanapun katanya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan boleh memulakan siasatan ke atas pemilik akaun bank yang didakwa WSJ serta Sarawak Report.

"Akta BAFIA itu pula tidak tertakluk kepada kuasa SPRM sendiri untuk 'masuk' dan memulakan siasatan terhadap laporan media itu.

"Hasil daripada siasatan harus diumum dan ia akan menyelesaikan kemelut yang melanda Najib sendiri," ujarnya.

Pada Ahad, Najib menegaskan, selaku perdana menteri yang dipilih rakyat, dia tidak akan sesekali mengkhianati rakyat dan harta benda negara ini.

Kata Najib, pihaknya tidak akan membenarkan anasir luar untuk menggugat dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat, sesuka hati mereka.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, pihak berkuasa kini menyiasat tiga buah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan WSJ yang juga dilaporkan oleh Sarawak Report.

VIDEO: Najib umum bentuk tindakan ke atas WSJ esok