Bagai tidak percaya kebakaran berlaku, pekerja KWSP ini sempat capai beg tangan!

Bagai tidak percaya kebakaran berlaku, pekerja KWSP ini sempat capai beg tangan!
Seorang kerani KWSP hanya sempat capai beg tangan dan payung selepas diberitahu bangunan KWSP sedang terbakar. -Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: "Saya hanya sempat capai beg tangan dan payung selepas mengetahui bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang terbakar."

Itu luah salah seorang kerani, Liyana Termizi, 37, yang bertugas di Jabatan Penamaan, KWSP, Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Ketika dalam kejadian, Liyana bersama kakitangan KWSP yang lain sedang melakukan aktiviti biasa mereka di pejabat.

Tiba-tiba pada jam 11.30 pagi, seorang kakitangan berlari masuk lalu memberitahu bangunan KWSP sedang terbakar dan meminta mereka keluar segera.
“Ada seorang kakitangan datang kepada kami dan memberitahu bangunan sedang terbakar. Pada mulanya, kami seperti tidak percaya sebab kami tidak dengar sebarang siren kecemasan.

“Bila dapat tahu tentang kebakaran itu, saya hanya sempat capai beg tangan dan payung sebelum keluar dari situ.

Walau bagaimanapun, keadaan di dalam pejabat KWSP masih tenang kerana ramai menyangka berita itu tidak betul.

“Kami di dalam pejabat masih lagi berlengah sebab seperti tidak percaya.

“Namun apabila saya keluar dari bangunan, ternyata kebakaran sudah berlaku dan ada beberapa individu yang panik,” ujar Liyana ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Sebagai pekerja KWSP yang sudah berkhidmat selama 15 tahun, dia turut berharap cawangan KWSP di Petaling Jaya dapat beroperasi semula malah sistem keselamatan dipertingkatkan.

“Saya berharap cawangan KWSP di Petaling Jaya dapat dibina semula malah keselamatan dapat dipertingkatkan supaya kami boleh berkhidmat di sana kembali,” luah Liyana lagi.

Insiden kebakaran bangunan KWSP berlaku pada tengah hari semalam berpunca daripada percikan api daripada kerja penyelenggaraan yang menyebabkan material lapisan pelindung atau 'cladding’ pada bangunan itu terbakar.

Selain itu, cawangan KWSP itu ditutup buat sementara waktu sehingga diumumkan.

BACA: Inilah punca kebakaran di bangunan KWSP!

BACA: Kebakaran di KWSP Jalan Bukit Gasing: Apa yang anda yang perlu tahu?