Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman hari ini melancarkan Bahagian Narkotik Lapangan Terbang dalam usaha untuk membanteras penyeludupan dadah.

Penubuhan Bahagian Narkotik Lapangan Terbang itu seiring dengan salah satu strategi 5M JSJN iaitu menentang penyeludupan dadah selari dengan teras strategi yang digariskan Kementerian Dalam Negeri iaitu untuk mengukuhkan keselamatan sempadan darat, maritim dan pintu masuk negara.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, langkah ini diambil bagi memperkukuhkan lagi benteng di pintu keluar masuk negara ini terutamanya di lapangan terbang.

Mengikut rekod JSJN, pada tahun 2019 seramai 82 orang rakyat Malaysia telah ditangkap di luar negara kerana terlibat dengan jenayah penyeludupan dadah.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 20.6 peratus berbanding tahun 2018 yang mencatatkan seramai 68 orang tangkapan keldai dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bahagian Narkotik Lapangan Terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.

Menurut beliau, dalam tahun sama JSJN berjaya mengesan dan menangkap 19 orang rakyat Malaysia yang menjadi keldai dadah sebelum mereka sempat terbang ke luar negara.

Dalam usaha untuk menangani isu itu juga, JSJN kini, kata beliau, turut menambah penjawatan sedia ada dalam pasukan gerakan seramai 102 orang pegawai dan anggota polis.

Selain di KLIA, mereka juga ditugaskan di lapangan-lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Senai dan Subang.

“(Seramai) 72 anggota ditempatkan di KLIA, 13 orang di Pulau Pinang, 12 orang di Kota Kinabalu, 5 orang pula di Kuching,” tambahnya lagi.

Tegas Mohd Khalil, langkah proaktif ini juga membuktikan JSJN komited bagi mengurangkan isu berkaitan keldai dadah yang melibatkan rakyat Malaysia.