Akibat bahana cinta tiga segi, tindakan kejam sepasang kekasih berbalas apabila dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Keputusan itu diputuskan Hakim, Datuk Siti Khadijah S.Hassan Badjenid terhadap Nur Fatihah Saqira Mohd Tahir, 22 tahun, dari Segamat, Johor dan kekasihnya, Firdaus Abdul Karim, 22 tahun dari Kandang, Melaka.

Siti Khadijah pada penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan menolak pengakuan dan penjelasan kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama bagi mencapai niat bersama telah membunuh Muhammad Azzad Suhani Hilalluddin, 27 sekitar 11.30 malam pada 31 Disember 2014 hingga 1 pagi, 1 Januari 2015 di antara Jalan BMU 2 hingga ke kolam loji kumbahan Bandar Baru Merlimau Utara, Jasin.

Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Berdasarkan fakta kes, Nur Fatihah Saqira menjalinkan hubungan cinta siber dengan mangsa sejak berada di tingkatan tiga, namun percintaan mereka mulai renggang selepas wanita itu melanjutkan pelajaran ke sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Merlimau.

Pada hari kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pekerja kontrak di sebuah syarikat swasta di Perak dikatakan datang ke Melaka menaiki bas untuk membuat kejutan bertemu teman wanitanya buat kali pertama.

Selepas sempat berbual, wanita yang telah menjalinkan hubungan dengan tertuduh lelaki itu kemudian menghubunginya sebelum diarah membawa mangsa ke belakang bangunan.

Firdaus yang melihat perempuan itu bersama mangsa, cemburu dan bertindak menikam dan mengelar mangsa sebelum membuang mayatnya ke dalam loji berkenaan, sebelum ditemui oleh orang awam tanpa sebarang identiti pengenalan diri, pada 2 Januari 2015.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad dan Shazreen Nadia Saaban manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam LK Tiew dan Mak Kah Keong.