SEORANG lelaki berusia 39 tahun cedera akibat ditimpa kipas siling yang jatuh ketika membayar saman trafik sempena program NS Fest 2019 di Dataran Nilai.

Kejadian yang menimpa Mohammad Zaki Yaakob pada Ahad lalu telah mengakibatkan beliau menerima sembilan jahitan di kepala akibat kecederaan tersebut.

Antara punca utama kejadian kipas siling jatuh adalah disebabkan kaedah pemasangannya yang tidak betul.

Pemasangan yang salah boleh menyebabkan kebakaran, kejutan elektrik, kipas siling terjatuh dan mengakibatkan kecederaan kepada manusia atau kerosakan harta benda.

Semua kipas siling mesti dibekalkan dengan wayar keselamatan yang sedia terpasang pada paip penyambungan (pipe assembly) kipas tersebut.

Wayar keselamatan tersebut perlu dipasang dengan betul ‘tanpa gagal’ iaitu pada 2 tempat (bahagian atas disembat pada cangkuk siling serta dimatikan di bahagian paip penyambung dan bahagian bawah di shaf motor) sebelum dikemaskan dengan pemasangan klip keselamatan bagi mengelakkan daripada kipas terjatuh.

BACA: Kipas siling timpa kepala pekerja restoran makanan segera

Apabila wayar keselamatan ini telah dipasang dengan betul, kipas akan kekal tergantung di siling sekalipun paip atau motor kipas tertanggal.

Berikut adalah tips pemasangan kipas siling yang betul untuk dipraktikkan :

1. Pendawaian elektrik dan pemasangan mesti dilakukan oleh orang yang kompeten dan bertauliah.
2. Ikut semua arahan dalam buku panduan dan pemasangan yang dibekalkan oleh pengeluar.
3. Jangan buka sebarang bahagian kipas siling melainkan dinyatakan di dalam buku panduan.
4. Hendaklah menggunakan bahagian-bahagian (parts) yang dibekalkan sahaja.
5. Pastikan cangkuk siling boleh menampung beban 10 kali ganda berat kipas siling.
6. Kipas siling mesti dipasang lebih daripada 2.5 m dari lantai dan 1 m dari dinding ke bilah kipas.
7. Jangan menggunakan bekalan kuasa yang lain daripada voltan terkadar (rated voltage) yang telah ditentukan. Ia boleh menyebabkan pemanasan terlampau (overheating), kejutan elektrik dan kebakaran.
8. Jangan pasang di tempat yang terdapat getaran dan hentakan tinggi kerana meningkatkan risiko cangkuk siling tertanggal.
9. Elakkan memasang kipas siling di tempat berminyak, berhabuk, berhampiran dengan bahan kimia dan alkali serta barang mudah terbakar seperti dapur gas. Ia boleh menyebabkan kebakaran, letupan, litar pintas dan kejutan elektrik.
10. Jangan pasang di tempat yang basah, bersuhu tinggi dan berkelembapan tinggi seperti di dalam bilik air. Jika terdapat kebocoran arus elektrik, kejutan elektrik dan kebakaran mudah berlaku.
11. Selepas pemasangan, lakukan pemeriksaan keselamatan seperti berikut :
a. wayar keselamatan telah terikat dengan kemas di cangkuk siling dan bahagian di shaf motor
b. ‘bolt’ dan ‘nut’ telah dipasang kemas kepada paip penyambung
c. klip keselamatan telah dimasukkan di tempat yang dikhusukan pada bahagian atas dan bawah paip penyambung
d. semua skru ada bilah kipas telah dipasang dengan kemas
e. sengkuap atas (upper canopy) telah dipasang dengan kemas dan terdapat sekurang-kurangnya 5 mm ruang antara sengkuap atas dan siling.
f. pastikan kipas siling tidak terlampau bergoyang
12. Berhenti menggunakan kipas siling apabila apa-apa keganjilan atau kagagalan berlaku dan putar Pemutus Litar Miniatur (Miniature Circuit Breaker - MCB) kepada ‘OFF’.

Bagi memastikan kipas siling yang telah terpasang di rumah berada dalam keadaan yang selamat, pemeriksaan keselamatan secara berkala ke atas elemen-elemen yang telah disenaraikan boleh dilakukan oleh pemilik atau penghuni rumah berkenaan.

Bagi sektor awam pula, terutamanya sekolah, kaunter perkhidmatan, pejabat dan lain-lain kawasan tumpuan ramai, satu audit keselamatan dan kesihatan (KKP) secara menyeluruh harus dilaksanakan dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti insiden yang disebut di atas tidak berlaku lagi.

Ini adalah bertepatan dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 1 Oktober 2019 yang lalu bagi pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan peraturan-peraturan di bawahnya oleh agensi kerajaan dalam mendukung Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara bagi mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat dalam sektor awam.

Dalam membantu agensi yang terlibat melaksanakan audit KKP yang dimaksudkan, pihak Safety Management Academy Sdn. Bhd. bersedia untuk menghulurkan tangan dan berkongsi kepakaran dengan agensi berkaitan dengan fokus utama kepada institusi pendidikan seperti universiti, kolej dan sekolah, serta kaunter perkhidmatan yang menjadi tumpuan ramai seperti balai polis, hospital, JPN, imigresen dan lain-lain.


*Ts. Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.