Walaupun baharu sahaja Kompleks Pekan Rabu di Alor Setar, Kedah ini dibuka namun ianya membuat rezeki buat Jamaludin Osman, 53 atau lebih dikenali 'Pak Din'.

Bahulu panas yang diusahakannya habis mendapat tempahan pelbagai parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Setiap hari beliau terpaksa menghasilkan lebih 10,000 biji kuih bahulu yang telah ditempah.

Keunikan kuih Bahulu Panas Pak Din ini lembut dan tidak mudah keras walaupun dibiarkan terdedah di luar bekas selain kekal wangi.

Pak Din (kiri) sibuk mengisi kuih bahulu panas ke dalam bekas sebelum diedarkan kepada pembeli.
Katanya, dia sentiasa mengekalkan keaslian pembuatan daripada ibunya yang mana adunan tepung, telur, gula dan air masih secara manual.

Malah Pak Din berkata, dia mencipta sendiri alat memasukkan adunan ke dalam acuan kuih bahulu itu.

"Alhamdulillah, musim pilihan raya ini saya tidak menang tangan dan mendapat tempahan terlalu banyak. Mungkin kuih bahulu panas ini ditempah untuk diedarkan di markas-markas politik dan jamuan-jamuan rakyat," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini baru-baru ini.

Malah bagi pekerjanya, Mohammad Noor, 25, sepanjang seminggu ini beliau tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang tidak pernah putus.

Para pekerja sibuk mengisi kuih bahulu panas ke dalam bekas.
Kata Mohamad, adakalanya calon sendiri datang menempah untuk di letak di Pusat Daerah Mangundi (PDM) bagi penyokong parti yang membuat kerja pemasangan bendera dan poster..

"Kalau ikut tempahan pilihan raya ini kira banyak la kadang-kadang sebelum penamaan calon mereka datang membuat tempahan untuk diletakkan di markas-markas atau PDM masing-masing," katanya.

Bahulu panas Pak Din ini dijual pada harga RM10 setiap bekas yang mengandungi 50 biji. Pelbagai reka bentuk terdapat misalnya bentuk cermai, ikan, cermai pecah lapan dan bahulu comel.