Pergerakan Pemuda UMNO akan menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini esok berhubung tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel.

Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO memandang serius isu berkenaan dan beliau sendiri akan mengetuai rombongan menghantar bantahan tersebut selepas solat Jumaat esok.

"Kami sudah meminta izin daripada Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menghantar nota bantahan tersebut," kata beliau.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Sambil mengutuk tindakan Amerika Syarikat itu, beliau berkata Pemuda UMNO tidak boleh menerima pendirian Amerika Syarikat memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

"Ini merupakan satu tempat penting bagi umat Islam dan menjadi kota pertikaian antara Palestin dan Tel Aviv," katanya.

Khairy menegaskan tindakan Amerika Syarikat itu dikhuatiri akan mencetuskan keadaan yang sangat tidak stabil bukan hanya di Timur Tengah malah di seluruh dunia.

Mengenai pertemuannya dengan KULN, Khairy berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap memerlukan sokongan dan dukungan daripada mereka yang berada di luar negara bagi menyumbang kepada kempen pilihan raya umum UMNO dan BN termasuk menerusi media sosial.

-- BERNAMA