Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yakin pengurangan peruntukan dalam Bajet 2017 tidak akan memberi kesan mendadak kepada kementerian berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kementerian memahami kemampuan kerajaan ketika ini, namun yakin permohonan bagi merealisasikan agenda kementerian pada masa depan akan dipertimbangkan.

Katanya secara keseluruhan beliau berpuas hati terhadap Bajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri semalam walaupun agenda kementerian itu tidak disebut secara terperinci.

"Jika kita teliti ucapan itu sememangnya tidak dimaklumkan dengan terperinci, bagaimanapun Perdana Menteri menyebut mengenai penjagaan hutan bahawa kerajaan pusat dan kerajaan negeri harus bekerjasama khususnya untuk hutan simpan dan hutan kekal demi penjagaan alam sekitar.

"Beliau turut menyentuh soal air sungai yang perlu kita jaga...menerusi ucapan bajet semalam, sebanyak dua kali disebut mengenai agenda-agenda di bawah kementerian ini berkaitan keselamatan makanan, keselamatan air dan juga penjagaan hutan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Alam Sekitar Negara 2016 di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Hasil penelitian terhadap bajet kali ini walaupun berkurangan kepada kementerian namun semua program-program termasuk di Sarawak seperti Heart of Borneo (HoB) dan sebagainya masih boleh dilaksanakan, katanya.

Antara inisiatif HoB adalah meningkatkan usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari dengan meminimumkan kemusnahan hutan, mengelak kehilangan biodiversiti dan ekosistem.

Program HoB juga sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk di pulau Borneo yang dianggarkan dilitupi hutan tropika seluas 20 juta hektar. -- BERNAMA