Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Bajet 2017 dalam memperkasakan ekonomi bumiputera itu hanya sekadar melepaskan batuk ditangga.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata dana yang terkandung dalam agenda Bajet 2017 itu tidak memberikan kerajaan melaksanakan program berimpak tinggi dan adil dalam pembangunan ekonomi bagi golongan Bumiputera.

Beliau dalam kenyataannya pada Ahad berkata pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat lalu tidak mempunyai maklumat data dan statistik kedudukan ekonomi serta aras pendapatan isi rumah Bumiputera terkini.

Ia lebih tertumpu kepada kecenderungan kerajaan kini terhadap keperluan asas polisi dan bukan kepada dasar pembahagian ekonomi yang adil di antara kaum negara ini.

BACA: Bajet 2017: RM262.8 bilion diperuntukkan

Ibrahim berkata Perkasa bukannya tidak menyokong polisi itu tetapi dalam usaha mencapai pembahagian ekonomi yang adil, tindakan afirmatif yang agresif wajib dilaksanakan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera.

Justeru, Perkasa mencadangkan kaum pribumi di Malaysia diberikan jumlah dana yang besar bagi pelaksanaan program afirmatif yang lebih holistik dan berkesan.

BACA: Pasca Bajet 2017

Ibrahim yang turut mengulas Bajet 2017 telah memberikan fokus kepada masalah rakyat untuk memiliki rumah sendiri, menerusi pelbagai insentif, termasuk pendekatan pinjaman khas yang dikendalikan beberapa bank diiktiraf, namun beliau berkata kerajaan terus mengabaikan soal pemilikan hartanah komersil, premis perniagaan, dan premis pejabat terhadap golongan terbabit.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim pinjaman khas untuk pemilikan rumah bagi menggalakkan Bumiputera memiliki hartanah komersil, premis perniagaan dan premis pejabat.

Ia kerana majoriti usahawan Bumiputera kini beroperasi di premis disewa daripada kapitalis bukan Bumiputera.

Perkasa turut mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan skim pinjaman khas yang serupa dan mewujudkan dana pinjaman pembayaran pendahuluan untuk mengatasi masalah ini pada sesi penggulungan Bajet 2017 di Dewan Rakyat nanti.

Pada pembentangan belanjawan negara tersebut, Najib menggariskan tiga tunjang utama bagi menjamin perpaduan, pertumbuhan ekonomi, perbelanjaan inklusif untuk mensejahtera kehidupan rakyat dalam mendepani cabaran ekonomi yang diuji ketidaktentuan di peringkat global.

Keseluruhannya, RM262.8 bilion diperuntukkan untuk tahun depan di mana RM214.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.