Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap kerajaan persekutuan memberi lima penekanan pembangunan perumahan di negeri ini dalam pembentangan Bajet 2019 yang dijadual dibentang esok.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata antara penekanan itu ialah menyediakan lebih banyak program perumahan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Pulau Pinang.

"Kami mahu kerajaan pusat untuk mewujudkan lebih banyak program perumahan persekutuan di negeri ini kerana kami sudah mengusulkan perkara itu di pihak kementerian sejak kerajaan terdahulu lagi namun tidak diberi keutamaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata selain mewujudkan lebih banyak unit perumahan di bawah rancangan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri berharap agar lebih banyak rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibina di negeri ini.

"Di Pulau Pinang, hanya ada 999 unit PPR berbanding 110,000 unit yang terdapat di seluruh negara walaupun pelbagai cara telah kami kemukakan kepada kerajaan terdahulu.

"Di bawah kerajaan Pakatan Harapan, atas permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kami telah mengenal pasti 10 lot tanah yang secara keseluruhannya seluas 62.46 ekar (9.89 hektar) untuk dipertimbangkan bagi membina lebih banyak PPR di semua lima daerah di negeri ini," katanya.

Jagdeep turut berharap agar permohonan tertunggak di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) dapat diluluskan dan diberi keutamaan oleh kerajaan persekutuan.

"Ini kerana Pulau Pinang jelas telah diketepikan apabila daripada 143 permohonan, hanya 28 permohonan diluluskan manakala 115 permohonan pada kos RM66.4 juta, masih belum diluluskan," katanya.

Bajet 2019, yang pertama untuk kerajaan Pakatan Harapan, dijadual dibentang di Parlimen esok.

-- BERNAMA