Ujian sampel air di Sungai Batu Ferringhi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam mendapati ia mempunyai elemenbakteria e-coli (Escherichia coli).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk tindakan lanjut.

"Kami juga meminta Jabatan Kesihatan membuat pemeriksaan terhadap tangkapan hasil laut di sekitar perairan kawasan Batu Ferringhi sama ada mempunyai elemen bakteria e-coli atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Semalam, akhbar melaporkan sebahagian air laut di Pantai Batu Ferringhi di sini, yang merupakan kawasan tumpuan pelancong, bertukar hitam dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan selain berdepan masalah hakisan pantai yang serius.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata: "Kami menyerahkannya kepada MPPP untuk makluman balas. Apa yang difahamkan daripada Patahiyah (Yang Dipertua MPPP Datuk Patahiyah Ismail), ia sebenarnya oleh IWK (Indah Water Konsortium Sdn Bhd). Saya tidak mahu menambah apa lagi.

"Biarlah MPPP yang memberi makluman balas. Ini isu IWK. MPPP akan keluarkan kenyataan mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan BEST (Bridge Express Shuttle Transit) Bertam-Komtar, di sini.

Perkhidmatan bas percuma BEST dari Kiosk Bertam ke Komtar bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar ini. Lim berkata perkhidmatan BEST Komtar yang diperkenalkan pada 3 Dis 2012 telah memberi manfaat kepada penjawat awam yang bertugas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Perkhidmatan pertama itu menggunakan dua bas Plusliner Syarikat Konsortium Nasional Berhad dengan jadual perjalanan dari Sunway Carnival, Seberang Jaya dekat sini ke Komtar pada 6.50 pagi dan dari Komtar ke Sunway Carnival pada 5.20 petang.