Pembinaan sebuah balai bomba di dearah Putatan akan diberi keutamaan bagi membolehkan bomba mengambil tindakan segera bagi menangani sebarang kes kecemasan, termasuk tiba di lokasi dengan lebih pantas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keperluan membina balai bomba di daerah ini semakin mendesak berikutan jumlah penduduknya yang semakin padat selain faktor kepesatan pembangunan.

Sebelum ini, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu tapak untuk pembinaan balai bomba berkenaan telah disediakan namun kerja kerja-kerja pembinaan masih belum dilaksanakan sehingga kini.

Mohd Shafie menjelaskan, pihaknya akan mengajukan perkara itu berserta dengan cadangan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Putatan kepada pihak Kementerian Perumahan di peringkat pusat untuk tindakan lanjut.

"Kita akan lihat mungkin keutamaan dari segi bomba tu jauh penting daripada balai polis kerana di sini balai polis pun tidak jauh mungkin sampai dalam 10 hingga 15 minit sudah sampai pusatnya di Kepayan tidak jauh sangat.

“Tapi mungkin bomba ni kerana dia membabitkan bukan hanya dari segi keselamatan nyawa manusia, rumah, serta kedai banyak dan kalau kita tunggu balai bomba yang berhampiran agak jauh, ini ada keperluan dan kita akan beri keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas dan ADUN Tanjung Aru, di Dewan Sri Putatan, semalam.

Hadir sama ADUN Tanjung Aru Junz Wong, Menteri Pembangunan Infrastuktur Datuk Peter Anthony, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr. Daud Yusof, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang, dan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jane Lasimbang.

Sementara itu, ADUN Petagas Uda Sulai, menyambut baik gesaan Ketua Menteri Sabah yang dilihat bakal memberikan manfaat kepada penduduk Putatan apabila pembinaan balai bomba itu dapat direalisasikan kelak.

Katanya, pihak bomba terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk tiba di lokasi ini sekiranya berlaku kebakaran dan terdapat beberapa kes kebakaran rumah tidak dapat diselamatkan kerana lokasi balai bomba yang agak jauh.

Dalam pada itu, Uda juga berharap agar pembinaan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah Putatan juga akan dapat direalisasikan di daerah ini bagi memudahkan penduduk Putatan untuk menjalankan urusan mereka.

“Mengenai dengan balai bomba ini memang sangat diperlukanlah beberapa kebakaran yang sudah berlaku di putatan ini walaupun balai bomba yang berdekatan seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Papar ada, tetapi oleh kerana kesesakan jalan raya selalu mendatangkan masalah untuk bomba segera datang di Putatan ini, oleh kerana itu apabila mereka datang sudah musnah semuanya,” katanya.