Tindakan membalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp semasa memandu menjadi antara penyumbang risiko kemalangan jalan raya di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, tindakan itu menjadi kebiasaan kepada sesetengah pengguna walaupun mesej Whatsapp yang diterima bukan kecemasan atau suatu yang penting.

Menurut Dr Wong, seseorang pemandu boleh hilang dua kali ganda tumpuan jika memandu sambil menggunakan telefon mudah alih.

"Itu bukan (berlaku) di Malaysia sahaja, ini teknologi baharu, saya rasa semua sudah jadi tabiat untuk membaca mesej (sambil memandu) sebab hati kita rasa tidak senang jika tidak membalas. Itu sudah jadi satu tabiat.

"Mereka kena faham, semua mesej itu boleh tunggu sebab kadang-kadang tidak ada apa-apa pun (yang penting), tetapi nak baca juga. Jadi ia meningkatkan risiko (kemalangan) yang tidak berbaloi," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Tambahnya, membalas WhatsApp atau sistem pesanan ringkas (SMS) semasa memandu memerlukan kebolehan luar biasa, dan jika hilang tumpuan ia boleh menyebabkan kemalangan serta mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

"Berdasarkan kajian dilakukan MIROS, seorang pemandu berisiko melanggar seorang pejalan kaki jika menggunakan telefon mudah alih semasa memandu berbanding mereka yang tidak menggunakan alat peranti itu.

"Ia berikutan pemandu berkenaan memberikan tumpuan kepada telefon, menyebabkan dia lambat untuk menekan brek apabila seorang pejalan kaki sedang melintas dan sebagainya," jelasnya lagi.

Risiko kemalangan maut

Dalam pada itu, Dr Wong berkata, risiko kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah 45 kali ganda berbanding pengguna perkhidmatan bas.

Perkara itu menjadikan penunggang motosikal terus mencatatkan jumlah tertinggi kemalangan maut di negara ini.

Pada masa sama, risiko lapan ke sembilan kali ganda kemalangan maut dihadapi penunggang dan pembonceng motosikal berbanding pengguna kereta.

Ia berikutan jelasnya, faktor fizikal sebuah motosikal berbanding kereta dan perkhidmatan awam adalah jauh lebih berisiko dan kurang selamat terutama untuk perjalanan jauh.

"Jika kita menunggang motosikal, berbanding dengan naik bas adalah 45 kali ganda berbanding naik bas. Maka, peningkatan risiko adalah 45 kali ganda jadi ia sangat tinggi," katanya.

Selain itu ujarnya, tindakan menggunakan telefon bimbit semasa menunggang motosikal juga perlu dihentikan segera bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

Pada Khamis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan jumlah kemalangan jalan raya seluruh negara meningkat kepada 17,147 kes setakat 11 hari pelaksanaan Op Selamat berbanding 15,527 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sepanjang sebelas hari Op Selamat 11, motosikal merupakan kenderaan paling banyak terlibat kemalangan dengan penunggang dan pembonceng mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 122 kes.