Dalam usaha meringankan beban mereka yang pulang ke kampung halaman, syarikat-syarikat korporat turut melaksanakan tanggungjawab sosial mereka.

Ia termasuk menawarkan isian petrol percuma kepada 200 penunggang motosikal di stesen minyak Petron hentian Gua Musang, Kelantan malam tadi.

Tawaran isian minyak penuh itu tajaan Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) dan Ekspres Musafir yang julung kali dilakukan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, isian minyak percuma itu hanya untuk penunggang motosikal 125cc dan ke bawah sahaja.

"Kita sasarkan 200 buah motosikal. Namun apabila cukup kuota, kita akan lihat jika ada ramai lagi yang memerlukan, mungkin kita akan buka semula tawaran.

"Yang penting, penunggang-penunggang motosikal berkuasa kecil ini gembira menyambut Hari Raya, sekurang-kurangnya dapat jimat perbelanjaan separuh perjalanan untuk pulang ke kampung,” katanya.

Ujarnya, tawaran itu terbuka kepada semua pemilik motosikal dan tidak terhad kepada mereka yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri sahaja.

Tambahnya, pemberian itu dijadikan program tahunan syarikat berkenaan.