Sebanyak 22 buah rumah di Baling rosak selepas dipukul ribut yang melanda lima mukim di daerah terbabit pada Ahad.



Dalam kejadian itu kesemua rumah rosak teruk di bahagian bumbung yang diterbangkan angin kencang selain banyak peralatan dan perabut musnah selepas ditimpa pokok tumbang.

Menurut pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak, kejadian ribut tersebut berlaku selama satu jam bermula jam tiga petang disusuli hujan lebat.



Jelasnya, kejadian ribut kuat yang melanda daerah Baling ini adalah kali yang keempat berlaku dalam masa dua minggu sejak awal September lalu.

Tambah Shamsul, kawasan yang paling terjejas teruk dalam kejadian kali ini adalah Mukim Siong, melibatkan lapan rumah diikuti Mukim Pulai (tujuh), Mukim Bongor (tiga), Mukim Kupang (tiga) dan Mukim Teloi Kanan (satu).



Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Bechah Sawa, Kampung Charok Bunting, Kampung Padang Che Mas, Kampung Bandar, Rambut Bukit Puyuh, Kampung Besah dan kampung Charok Sik.




Selain itu, terdapat sebuah rumah yang didiami Orang Kelainan Upaya (OKU) turut terjejas selepas bumbung di bahagian dapur rumahnya diterbangkan angin.



Walau bagaimanapun, jelas Shamsul, tiada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.



Tegasnya, sehingga jam 11 pagi tadi pihak JKM Baling telah melakukan lawatan ke kesemua rumah yang terlibat dan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM300 secara "one-off" beserta bungkusan makanan kepada mangsa.