Bagi meringankan beban yang ditanggung, balu kepada kontraktor penyelenggaraan Telekom Malaysia (TM) yang maut akibat dilanggar pemandu yang dipercayai mabuk pada minggu lalu mendapat bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nor Suraida Harun, 29 tahun kini terpaksa membesarkan anak tunggal mereka Adam Adli Omar, 4 tahun selepas kehilangan suami, Omar Osman, 40 tahun.

Bagaimanapun Suraida boleh menarik nafas lega setelah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar pampasan berupa Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan berupa pencen bulanan sebanyak RM930 sebulan.

"Sekarang perasaan saya ringan sikit sebab sebelum ni suami saja yang kerja. Jadi (dengan bantuan) ini ia meringankan beban saya yang nak tanggung anak lagi," katanya semasa ditemui di di rumahnya di Kampung Sungai Mati, Pokok Sena.

Sumbangan itu disampaikan Pengarah Perkeso Kedah, Mamsor Abdul Manaf cek Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

Kes yang menimpa Allahyarham Omar diklasifikasikan di bawah Bencana Kerja mengikut Seksyen 2(6) Akta Keselamatan Sosial Pekerja.


Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Rabu lalu, Omar yang sedang melakukan kerja-kerja penyelengaraan kabel bawah tanah dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk menyebabkan mangsa terperosok ke dalam lubang dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala..

Turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu ialah seorang lagi pekerja yang juga abang mangsa, Amran Osman, 48, di bahagian tepi mata dan tangan kanan akibat terkena papan tanda yang terpelanting sewaktu dirempuh kenderaan tersebut.