8,024 blok perhitungan (BP) di 40 daerah pentadbiran di Sarawak akan melalui proses pembancian bermula hari ini sekaligus menjadikan ia antara jumlah BP tertinggi di seluruh negara.

Lebih 2.4 juta penduduk Sarawak akan dibanci melalui dua fasa bermula Julai dan dijadualkan tamat pada Oktober 2020.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sarawak, Surhardi Omar, pihaknya merangka pendekatan dan mod bancian bersesuaian dengan setiap lokasi BP ditetapkan.

“Menerusi proses pembancian kali ini, DOSM menggunakan pendekatan De Jure (berlandaskan undang-undang) yang mana maklumat penduduk dikumpul meliputi tempat tinggal dalam tempoh pembancian itu, daripada tempoh enam bulan lokasi dia berada.

"Maksudnya enam bulan sebelumnya dan enam bulan yang akan datang yang mana tempat tinggal biasa responden tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, DOSM juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri terutama pejabat daerah bagi memudahkan operasi termasuk keperluan logistik dan teknikal semasa pembancian dijalankan.

Pembanci juga dilantik dalam kalangan anak tempatan yang layak bukan sahaja dalam aspek akademik, malah memiliki pengetahuan am mengenai kawasan BP yang akan dibanci terutama di kawasan pedalaman.

“Perkara ini penting kerana ada beberapa kawasan yang sukar diakses, malah ada juga kawasan blok perhitungan yang memerlukan pembanci berjalan kaki.

“Selain itu, terdapat juga blok perhitungan yang jaraknya sekitar 10 kilometer sahaja, tetapi cabaran yang perlu ditempuh untuk sampai ke lokasi tersebut juga mungkin berbeza, ada yang terpaksa mengharungi sungai, menaiki bot dan banyak lagi,” tambahnya.

Surhardi juga meminta warga Bumi Kenyalang untuk memberi kerjasama kepada pembanci sepanjang proses berkenaan dilaksanakan.

Pihak DOSM akan menggunakan lima mod pembancian antaranya e-census, temu duga secara bersemuka, melalui panggilan telefon dan borang soal selidik yang ditinggalkan di rumah penduduk.

Sebanyak 798 BP akan menerima poskad berserta id khas sebagai responden yang telah dikenalpasti berupaya mengisi borang e-census pada fasa pertama.

Bagi mereka yang tidak menerima poskad id e-census, anda boleh mendapatkannya dengan melakukan pra-pendaftaran di laman web Jabatan Perangkaan Malaysia di www.dosm.gov.my.