Bandar Integrasi Sarung Tangan bakal dibangunkan di mukim Bidor, kira-kira 65 kilometer dari sini, bagi merancakkan kemasukan pelaburan dan pertumbuhan kilang baharu di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berkata pembangunan membabitkan kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan syarikat pengeluar sarung tangan getah, Kossan Rubber Industries Bhd (Kossan Rubber) itu akan dilaksanakan di tanah perindustrian milik PKNP berkeluasan 824 ekar.

Katanya, pembangunan bandar berkenaan membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM1.5 bilion dan Kossan Rubber memilih daerah Batang Padang untuk pelaburan berkenaan.

"Pelaburan tempatan bertaraf global itu sekali gus meningkatkan ekonomi negara dan dijangka menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara PKNP yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Mohd Ariff Yeop Ishak dengan Kossan Rubber yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Lim Kuang Sia, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, pembangunan bandar berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat dan kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) yang diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Anuar Zainal Abidin dengan Pengarah Urusan ECK Sdn Bhd, Tan Sri Khor Eng Chuen.

Ia membabitkan pembinaan 321 unit rumah yang akan dibangunkan di tanah seluas 25 ekar dengan setiap unit berkeluasan 1,200 kaki persegi termasuk anjung selain kawasan riadah termasuk trek jogging serta landskap.

''Keutamaan jualan bagi rumah berkenaan adalah untuk golongan pembeli rumah pertama dan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga dengan harga ditawarkan adalah RM90,000 bagi setiap unit," katanya.

-- BERNAMA