Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sudah bersedia menggunakan "Mosquito Magnet" untuk memerangi nyamuk Aedes di bandar ini yang menyumbang 70 peratus daripada keseluruhan kes denggi di Sarawak.

Timbalan pengerusi MPS Datuk Andrew Wong berkata, analisis yang dibuat oleh Universiti Malaya ke atas peralatan khas itu baru-baru ini menunjukkan ia sangat efisien untuk digunakan.

Selain itu katanya, hasil analisis yang turut termasuk ujian lapangan yang melibatkan pemasangan peralatan itu di sekolah-sekolah dan taman di bandar ini akan didedahkan kepada orang ramai tidak lama lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Tahunan MPS di sini malam tadi beliau berkata, laporan analisis itu akan dikemukakan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Sri Wong Soon Koh.

MPS juga akan memohon peruntukan RM500,000 dari kerajaan negeri bagi menempatkan lebih banyak peralatan tersebut di sekolah-sekolah dan taman-taman awam di bandar ini.