"Saya tidak pernah berputus asa untuk membuat permohonan pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong supaya dibebaskan dari penjara," akui Pok Lie (bukan nama sebenar), banduan dari Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Machang.

Pengakuan hiba banduan tersebut meruntun hati kerana sudah 19 tahun dia berada di sebalik jeriji besi setelah dijatuhi hukuman penjara mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyertai Pertubuhan Al-Ma'unah dengan hukuman penjara sepanjang hayat.

Menurutnya, sudah empat kali dia mengemukakan permohonan pengampunan dengan harapan mahu membantu keluarga termasuk mendidik anak dan cucu dengan lebih baik, namun sehingga kini permohonan tersebut masih ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Pok Li adalah antara 21 banduan yang diraikan dalam Program Jalinan Kasih Peringkat Penghuni PPA/Pusat Koreksional Machang, di sini, hari ini.

Kata Pok Lie, pada mulanya dia berhasrat untuk mendalami ilmu perubatan secara profesional di peringkat ijazah selepas melihat video yang menggambarkan cara mengubati penyakit menggunakan tenaga dalaman.

"Bagaimanapun, ketika menyertai kursus kerohanian itu, saya bersama dengan beberapa individu lain dibawa oleh satu kumpulan ke atas bukit dan terkejut apabila kami melihat banyak senjata api di situ.

"Selama lima hari kami berkampung di atas bukit sehinggalah dikepung oleh ribuan tentera daripada empat penjuru dan ketika arahan diminta untuk menyerahkan diri, hanya saya bersama seorang lagi rakan bertindak menyerahkan diri kepada pihak tertinggi tentera," kata bapa kepada lapan anak dan tujuh cucu itu.

Menurutnya, disebabkan kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman di Penjara Kajang, kemudian dipindahkan ke Penjara Pengkalan Chepa lebih sebulan dan akhirnya ditukarkan ke Pusat Pemulihan Akhlak, Machang bermula 2013 hingga sekarang.

"Setiap hari saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan untuk memperoleh pengampunan Yang di-Pertuan Agong, yang mana sebelum ini ditolak tanpa dinyatakan alasan.

"Saya sentiasa berharap tempoh menjalani hukuman boleh diringankan setelah mendapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Bagaimanapun, Pok Lie berkata dia masih bersyukur kerana selama berada di pusat pemulihan tersebut, dia dilantik menjadi imam dan memberi khutbah bagi solat Jumaat serta membacakan doa pada majlis pagi.

Seorang lagi banduan, Me Ran (bukan nama sebenar), 36, berkata, dia dijatuhi hukuman penjara selama 54 tahun dan 45 sebatan atas kesalahan merogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Saya ditangkap pada 2011, kemudian dijatuhi hukuman penjara pada 2013 dan sudah lapan tahun beraya di sebalik tirai besi yang banyak menjadikan saya insaf.

"Di sini, saya mendalami ilmu agama, solat berjemaah, mengaji al-Quran selain lebih mengenali diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Komisioner (PKK), Zaidi Hamid berkata, program Jalinan Kasih yang diadakan ini melibatkan kehadiran 80 ahli keluarga banduan.

"Banduan yang terpilih untuk program ini adalah mereka yang menunjukkan kelakuan dan disiplin baik termasuk banduan yang sudah lama menerima hukuman di sini diberi peluang untuk bermesra dengan keluarga masing-masing.

"Selama berada di sini, kami sudah sedaya upaya memulihkan mereka dengan pelbagai program pemulihan dan berharap agar masyarakat di luar sana memberi sokongan kepada mereka semasa tempoh transisi," katanya.

-- BERNAMA