Sebanyak 32 keluarga dari empat buah kampung di Simpang Pertang dekat sini dipindahkan ke dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Leftenan Md Marissa Aminuddin berkata sebanyak 22 keluarga melibatkan 99 orang dari Kampung Geylang dan Kampung Melayu ditempatkan di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Geylang, yang mula dibuka pukul 10.36 malam tadi.

"Sebanyak 10 keluarga melibatkan 53 mangsa pula dari Kampung Tembathin dan Kampung Baru Pertang ditempatkan di Dewan Terbuka Kampung Tambahtin Taman Bukit Pertang yang mula dibuka kira-kira pukul 1.16 pagi tadi.

"Bilangan mangsa sebenar seperti bangsa, jantina dan umur belum dapat diputuskan lagi kerana pengiraan masih dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, agensi lain yang turut terlibat membantu mangsa banjir ialah bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Jelebu.

-- BERNAMA