Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersedia untuk menggerakkan aset dan anggotanya bila-bila masa ke kawasan terjejas banjir di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia melibatkan 1,572 pegawai dan 27,021 anggota lain-lain pangkat.

"Dari segi atur gerak aset, 358 bot, 852 trak 3 tan, 25 trak 7 tan, 118 ambulans, sebuah pesawat C130 dan sebuah CN 235, 9 helikopter, 12 kapal laut, 8 Bot Tempur TLDM CB90, 2 set Compact 100 Bridge, 22 set Floatable Platform dan 79 dapur medan sedia diatur gerak," katanya dalam sidang media sempena Taklimat Persiapan Banjir Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Tambahnya, bilik gerakan operasi banjir telah diaktifkan sejak 16 November lalu bagi memantau situasi banjir di seluruh negara.

"Mindef dan ATM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengurusan bencana untuk mengkoordinasi dan memastikan kerja-kerja mendapatkan maklumat serta menyalurkan bantuan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada yang bernar-benar memerlukan.

"Pada masa sama, pusat pengumpulan sumbangan disediakan untuk mangsa banjir dengan setakat ini, sebuah pusat pengumpulan telah dibuka iaitu Depoh Simpanan Pertahanan (DSP) di Sungai Buloh," ujar beliau.

Penempatan sementara

Pihaknya juga telah mengenal pasti Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir.

"51 kem PLKN telah dikenal pasti di negeri-negeri yang sering berlaku banjir untuk penempatan sementara mangsa banjir. Setiap kem boleh menampung 400 mangsa banjir dan jumlah keseluruhan adalah 20,400 mangsa," kata Hishammuddin.

Ujar beliau, kementeriannya juga akan menjadikan pengurusan banjir di Kemaman sebagai panduan untuk menguruskan banjir pada musim tengkujuh ini.

"Ia (Kemaman) juga merupakan template kita. Tindakan pro-aktif di Kemaman mesti ada satu kelebihan dan saya akui kagum dengan tindakan dan pemikiran orang Kemaman kerana aset kita boleh beli, kita boleh arahkan, tapi pemikiran masyarakat setempat itu yang cukup kagumi," tambah beliau.

Selain itu, beliau akan memastikan Kementeriannya dan semua agensi terlibat terus komited bersama agensi lain membantu negara menghadapi situasi banjir.