Seramai 6,000 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diletakkan dalam keadaan bersiap siaga sepanjang musim banjir ini khususnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima formasi briged telah digerakkan iaitu Formasi 7 Briged di Johor, Formasi 8 Briged di Kelantan dan Terengganu, Formasi 4 Briged di Pahang, Formasi 5 Briged di Sabah dan Formasi 11 Briged di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa kesemua anggota ATM yang digerakkan memberi komitmen sepenuhnya dalam membantu orang ramai.

“Kita juga telah bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi keselamatan dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak banjir melanda beberapa negeri pada tahun ini bagi memastikan setiap operasi bantuan berjalan lancar.

“Di Kelantan dan Terengganu di bawah naungan 8 briged, di Pahang bawah 4 briged, di Sabah 5 briged, di Selangor 11 briged dan secara keseluruhan kita telah meletakkan 6,000 anggota dari kelima-lima briged ini dalam keadaan bersiap siaga.

“Sebab itu saya tengok sebagai menteri pertahanan, saya mahu anggota kita bukan sahaja dapat dilihat tetapi dapat dirasai dan ini telah saya tengok komitmen yang begitu tinggi anggota kita di Kelantan dan Terengganu dan hari ini bersama wakil rakyat kita turun sendiri di Johor untuk pastikan bahawa tidak ada bezanya layanan kita dari layanan kita di negeri Johor ini dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau gerak atur anggota ATM dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Agama Kampung Jawa, Sekijang, Segamat pada petang Khamis.

BACA: 8,130 orang masih berada di 73 pusat pemindahan di Johor

BACA: Korban banjir Segamat ditemui


Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Naib Presiden UMNO turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi mangsa banjir di daerah Sekijang Segamat.

Mengulas lanjut beliau berkata, tentera udara turut meletakkan anggota dan aset dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak sekiranya diperlukan.

“Aset udara itu terdiri daripada helikopter Nuri, helikopter EC-725, pesawat Hercules C-130 dan pesawat A-400m.

“ATM turut menempatkan anggota perubatan daripada Kor Kesihatan Diraja bertujuan untuk menyediakan bantuan perubatan asas kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di negeri-negeri yang terlibat,” jelasnya.

Katanya, hospital medan tahap satu juga turut dibina di pusat pemindahan banjir yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Segamat.