Kesan-kesan banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 sehingga kini tidak ditangani dengan baik, ujar Pakar Hidraulik dan Hidrologi, Datuk Dr Azuhan Mohamed.

Ia berikutan sisa-sisa kelodak yang dibawa banjir berkenaan masih belum dibersihkan dan masih berada dalam sungai di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bencana yang berlaku empat tahun lalu itu boleh berulang.

"Saya cakap benda betul walaupun pahit, impak banjir 2014 itu belum lagi ditangani dengan betul dan sempurna. Malah, sungai masih lagi cetek. Sepatutnya kena dalamkan sungai-sungai cetek itu. Bukit-bukit yang digondol menyebabkan banjir besar itu masih lagi gondol seperti sebelum ini.

"Sekarang ini tiada inisiatif. Sekarang ini apa yang berlaku adalah lebih kepada kaedah struktur. Kita bina projek tebatan banjir untuk tempat-tempat tertentu, biasanya ia melindungi kawasan yang ada nilai tinggi terutama di bandar. Namun di kawasan pedalaman itu tidak ada pertahanan untuk mengelakkan banjir daripada berlaku," katanya dalam satu temu bual dengan Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Jelasnya, kerja-kerja mengeluarkan kelodak sungai kesan banjir 2014 berkenaan perlu dilakukan secara berterusan selain memperbanyakkan usaha penanaman pokok-pokok.

"Pertama , program mengeluarkan kelodak sungai perlu dilakukan. Kedua, kita kena hijaukan balik tanah-tanah yang digondol tersebut. Namun ia tidak dilakukan," ujar beliau.

Beliau juga melihat aktiviti pembalakan di negeri itu perlu dipantau dengan baik terutama kerja-kerja mitigasi dilakukan pengusaha projek.

"Sekiranya pembalak masih lakukan pembalakan, dia kena pastikan balak itu tidak hanyut ke sungai atau sisa-sia pembalakan itu diuruskan secara mampan. Jangan biarkan benda-benda itu berkumpul di atas bukit dan menyebabkan limpahan banjir," katanya lagi.

Pada 2014, Kelantan adalah adalah negeri paling teruk terjejas susulan banjir besar yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan selain kemusnahan harta benda dan tempat tinggal.

Jajahan Kota Baharu mencatatkan angka tertinggi banjir iaitu di Tumpat, Pasir Mas, Kuala Krai , Gua Musang , Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.