Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengesahkan tiada pelajar Malaysia yang terjejas dalam kejadian bencana banjir buruk yang melanda bahagian utara Queensland, Australia.

Menurut beliau, laporan yang diterima daripada Education Malaysia Australia malam tadi menunjukkan kesemua pelajar Malaysia di kawasan Townsville selamat.

"Saya juga mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kesemua pelajar dan rakyat Malaysia yang terkesan dengan banjir buruk ini," kata beliau menerusi kenyataan malam tadi.

Maszlee juga berkata, Education Malaysia Australia akan terus berhubung dengan pelajar-pelajar Malaysia dan akan terus memberikan segala sokongan yang diperlukan.

"Pada masa yang sama saya mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra atas sokongan yang diberikan dalam menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia di kawasan yang dilanda banjir itu," kata beliau.

Ketika ditemui wartawan di Johor Bahru petang Selasa, Maszlee berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan bencana itu.

BACA: Tiada laporan pelajar Malaysia terjejas banjir di Australia - Maszlee

Maszlee berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera sekiranya ada pelajar Malaysia terbabit dalam bencana itu.

Baru-baru ini, dilaporkan 50 rakyat Malaysia yang berada di bandar Townsville, Queensland selamat.

Wisma Putra sebelum ini berkata risiko di kawasan terjejas adalah tinggi kerana hujan lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang.

Banjir itu yang disifatkan berlaku "sekali dalam seabad" berpunca daripada hujan lebat tidak normal semasa musim tengkujuh dan memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah masing-masing kerana hujan lebat dijangka berterusan.