Keadaan banjir di beberapa negeri di utara dan pantai timur Semenanjung beransur pulih apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara menunjukkan penurunan.

Berdasarkan laman portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setakat pukul 5 petang ini, negeri-negeri yang masih terjejas akibat banjir adalah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Laman portal NADMA turut memaklumkan seramai 11,214 mangsa banjir daripada 4,433 keluarga ditempatkan pusat-pusat pemindahan sementara.

Bagi Kelantan, seramai 9,799 mangsa masih berada di 32 buah pusat pemindahan sementara iaitu di Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Puteh.

Sementara bacaan air sungai-sungai utama menunjukkan trend penurunan tetapi hanya Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan melebihi parasa bahaya iaitu 10.19 meter.



Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 935 orang berbanding 1,213 orang pada pagi Ahad.

Setakat pukul 5 petang, sebanyak 216 keluarga masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan melibatkan empat daerah.

Di Pahang, seramai 47 penduduk daripada 14 keluarga di dua kampung di Raub menjadi mangsa banjir pertama dipindahkan di negeri ini selepas rumah mereka dinaiki air malam tadi.

Dua pusat pemindahan sementara yang dibuka ialah di Surau RRM Cheroh 3, yang mula dibuka kira-kira 9.30 malam semalam dengan menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga manakala Balairaya Kampung Ulu Sungai dibuka 11.30 malam semalam bagi menempatkan 37 mangsa daripada 12 keluarga.

Sementara itu, bagi Perlis, seramai 20 mangsa dari lapan keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara.