Situasi banjir di beberapa negeri semakin buruk dengan peningkatan ketara mangsa banjir dipindahkan di empat negeri.

Sehingga 8 pagi tadi, jumlah mangsa ditempatkan pusat-pusat pemindahan di Pahang, Terengganu, Sabah dan Johor meningkat mendadak kepada 8,909.

Keadaan banjir di Pahang bertambah buruk dengan jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan di enam daerah meningkat kepada 7,036 orang, berbanding 6,106 orang 10 malam tadi.

Kuantan paling teruk terjejas dengan mencatatkan penduduk dipindahkan paling ramai melebihi lima ribu mangsa.

Kawasan lain yang terjejas di Pahang adalah Rompin, Pekan, Maran, Lipis dan Jerantut.

Sementara itu, hari keempat banjir di Terengganu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir dipindahkan pagi ini kepada 1,001 orang, berbanding 329 orang malam tadi.

Peningkatan jumlah itu disebabkan pembukaan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, menjadikan jumlah keseluruhan 13 PPS beroperasi di Terengganu ketika ini.

Dungun dan Kemaman merupakan kawasan yang paling teruk terjejas dengan banjir setakat ini.

Keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Membakut dan Dewan SM St Patrick, Membakut. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI

Di Sabah, jumlah penduduk terjejas banjir di Membakut juga meningkat mendadak kepada 484 orang berbanding 246 orang malam tadi.

Jumlah kampung yang terjejas di daerah itu turut meningkat daripada 14 kepada 21.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Johor yang dipindahkan meningkat kepada 388 orang pagi ini dengan penambahan sebuah PPS di Kluang, selain enam lagi PPS di Mersing.

Keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Membakut dan Dewan SM St Patrick, Membakut. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI