Gelombang ketiga banjir di Terengganu yang melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun bermula 1 Jan lalu telah pulih sepenuhnya hari ini dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Kemaman ditutup.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 20 PPS telah beroperasi di dua daerah tersebut yang menempatkan 2,980 mangsa daripada 752 keluarga.

"Daripada jumlah itu, mangsa paling ramai terjejas banjir ialah di Kemaman iaitu 2,723 orang daripada 658 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS bermula 2 Jan hingga banjir pulih sepenuhnya hari ini.

"Di Dungun pula, sebanyak empat PPS telah beroperasi sepanjang banjir melanda Hulu Dungun bermula 1 Jan hingga banjir pulih sepenuhnya pada 5 Jan lalu yang menempatkan 257 orang daripada 94 keluarga," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata walaupun gelombang ketiga banjir telah berakhir, kesiapsiagaan diteruskan dan menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir berwaspada kerana Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka berlangsung sehingga Mac.

-- BERNAMA