Banjir di Pahang, Terengganu dan Johor dilaporkan dalam keadaan tidak banyak berubah selain beberapa kawasan dilaporkan semakin pulih.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di negeri itu bertambah sedikit kepada 1,301 orang pagi ini berbanding 1,256 orang yang ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Pekan merekodkan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan dengan 923 orang masih ditempatkan di lapan PPS.

"Di Sekolah Sinar Mutiara Sungai Miang terdapat 416 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang (229), SK Temai (109), Balai Raya Kampung Menchupu (65), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (48), Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (34), SK Acheh (20) dan dua orang di Balai Raya Kampung Tebat," menurut portal itu.

Di Maran, seramai 177 mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu SM Tengku Ampuan Afzan (28), Mini Estate Machang Gelap (68), Balai Raya Kampung Baru Pertanian (41), SK Pesagi (29) dan SK Serengkam (11).

Di Bera pula, lima PPS yang menempatkan 139 orang ialah SK Kuala Triang (69), SK Charuk Puting (24), Masjid Kampung Mengkarak (19), Masjid Kuala Bera (13) dan Balai Raya Kampung Seberang Guai (14).

Di Kuantan hanya satu PPS yang masih dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai, Kuantan menempatkan 62 orang.

Banjir di Temerloh pulih sepenuhnya dan lima sekeluarga yang ditempatkan di Surau Kampung Lompat telah dibenarkan pulang.

Selain itu, di Kuala Terengganu, Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa banjir di Kemaman kekal 948 mangsa setakat pagi ini.

Kata beliau ketika ini, Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok menempatkan 843 orang daripada 189 keluarga, manakala Surau Pulau Tempurung pula menempatkan 105 mangsa daripada 18 keluarga.

Sekolah tersebut tidak dapat beroperasi untuk sesi pembelajaran ekoran digunakan sebagai pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, di Segamat, Johor pula, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Datuk Ayub Rahmat berkata keadaan banjir semakin pulih dengan mangsa banjir di daerah itu kini 25 orang berbanding 38 orang yang dicatatkan semalam.

"Setakat pukul 8 pagi ini, kesemua mangsa daripada tujuh keluarga itu berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Mensudut Lama dan Sekolah Kebangsaan Balai Badang.

Menurutnya bacaan air Sungai Muar dekat Buloh Kasap yang berdekatan di kedua-dua kampung itu terus meningkat kepada 8.65 meter berbanding 8.61 meter malam tadi.

-- BERNAMA