Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) menjangkakan akan berlaku empat hingga lima episod hujan lebat berterusan selama beberapa hari sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang bermula pertengahan bulan ini hingga Januari.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang cenderung banjir dan kawasan rendah.

“Tiupan angin Monsun Timur Laut dijangka menyebabkan Kelantan dan Terengganu menerima kesannya bermula pada pertengahan November dan Disember, manakala Pahang dan Johor Timur bermula Disember dan Januari.

“Amaran awal bagi episod hujan lebat semasa Monsun Timur Laut akan dikeluarkan seawal satu hingga tiga hari manakala amaran ribut petir akan dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda intensiti ribut petir semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, semasa fasa ini, kejadian hujan lebat dan ribut petir setempat dalam jangka masa singkat serta angin kencang lebih kerap berlaku pada waktu petang dan awal malam.

Beliau menasihati orang ramai agar peka dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan jabatan itu dan mematuhi garis panduan keselamatan.