Tutup

Banjir, insurans dan takaful... Apa yang anda perlu tahu?

Banjir, insurans dan takaful... Apa yang anda perlu tahu?
Selepas insiden banjir besar pada 2014, penembusan insurans dan takaful dan penambahan polisi banjir untuk kenderaan, perniagaan dan hartanah, semakin meningkat, termasuk di kawasan Pantai Timur. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Insurans dan takaful boleh membantu mangsa yang terkesan akibat banjir untuk mengurangkan kerugian dan memulihkan kehidupan dan perniagaan mereka.

Menurut Naib Presiden Kanan & Ketua Penyelesaian Korporat, Takaful Ikhlas General Berhad Mewakili Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Kamarulzaman Mohd Nasir, perlindungan insurans dan takaful akan memberikan ketenangan jiwa kepada pemilik polisi susulan insiden yang menimpa.
Ini termasuk melindungi perniagaan daripada kerugian susulan daripada kerosakan stok akibat bencana termasuk banjir.

Menurutnya, konsep melindungi kerugian adalah penting dan terkait dengan perancangan kewangan yang teratur, dan mengikut konsep 'sediakan paying sebelum hujan'.
Ini kerana menurutnya, berdasarkan banjir besar pada 2014, tiada jaminan tempat yang tidak pernah dilanda banjir akan selamat.

Mengulas berkenaan banjir dan perlindungan insurans dan takaful,  Kamarulzaman menyatakan ia adalah perlindungan tambahan yang perlu diambil pengguna dengan premium yang bergantung kepada nilai kenderaan dan hartanah.



Menurutnya, kos premium tambahan ini adalah sekitar RM110 untuk hartanah bernilai sekitar RM100,000, setahun.

Mengulas berkenaan tahap penembusan insurans dan takaful yang rendah, Kamarulzaman menyatakan insurans selalunya dilihat sebagai perkara terakhir dalam perancangan kewangan mereka.

Namun menurutnya, selepas insiden banjir besar pada 2014, penembusan insurans dan takaful dan penambahan polisi banjir untuk kenderaan, perniagaan dan hartanah, semakin meningkat, termasuk di kawasan Pantai Timur. 

Menurut Kamarulzaman lagi, pemegang polisi digesa melaporkan insiden yang menimpa harta mereka yang dilindungi insurans dalam masa sekitar 14 ke 30 hari untuk penilaian awal melalui e-mel, WhatsApp atau telefon.

Beliau menambah, untuk bayaran balik, industri turut memudahkan proses berkenaan: “Kalau tuntutan itu berjumlah RM10,000 ke bawah, kita akan hantar ‘adjuster’. 'Adjuster’ ini akan buat penilaian berapa kerugiannya, dan katalah kerugiannya bawah RM10,000, kita telah beri kebenaran kepada ‘adjuster’ untuk terus membuat tawaran kepada pemilik polisi.”

Menurutnya, selepas dokumen ditandatangani, bayaran akan dibuat kepada pemegang polisi dalam masa tujuh hari bekerja.


Tag: insurans, takaful, banjir, mangsa banjir



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.