Seramai 1,676 mangsa banjir daripada 468 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan setakat jam 8 pagi Isnin.

Angka ini mencatatkan peningkatan berbanding 1,208 mangsa daripada 350 keluarga yang dikemas kini oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada jam 4 petang Ahad.

NADMA menerusi satu kenyataan berkata negeri-negeri yang terjejas akibat banjir ialah Perak, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Selangor mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 784 mangsa daripada 245 keluarga, diikuti Perak seramai 368 mangsa membabitkan 84 keluarga.



Di Johor pula, seramai 341 mangsa daripada 91 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan dan 368 mangsa daripada 84 keluarga turut dipindahkan di Johor.

Seramai 127 mangsa daripada 31 keluarga di Pulau Pinang dipindahkan manakala di Kedah pula, 56 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan.

Setakat ini 23 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa bah ini.