Seramai 26 mangsa, termasuk seorang bayi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara apabila rumah mereka di Kampung Kelah Baru di sini, dilanda banjir kilat malam tadi.

Kesemua mangsa daripada enam keluarga, dipindahkan selepas rumah-rumah mereka dinaiki air kira-kira 1.3 meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.38 malam.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terdiri daripada enam lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Keruit.

Foto JBPM

“Jarak di antara lokasi banjir dan pusat pemindahan sementara dianggarkan sejauh satu kilometer,” katanya dalam kenyataan awal pagi Ahad.

Menurutnya, operasi menyelamat dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dengan bantuan anggota dari BBP Slim River.

Foto JBPM