Kebanyakan tempat yang dilanda banjir kilat sekitar bandaraya ini pagi ini sudah pulih, manakala jumlah mangsa di pusat pemindahan banjir di daerah Serian terus berkurangan petang ini kepada 260 orang daripada 82 keluarga.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata semua mangsa itu kini berada di Pusat Pemindahan di Dewan Masyarakat Gedong, selepas sebuah Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh ditutup pada pukul 3.30 petang ini.

Beliau berkata jumlah penurunan itu agak ketara berbanding tengah hari tadi yang menyaksikan 629 orang daripada 193 keluarga berlindung di dua pusat pemindahan banjir itu.


Sementara itu, katanya, tiada pusat pemindahan baru dibuka hari ini selepas beberapa tempat di sekitar bandaraya mengalami banjir kilat.