Banjir kilat yang melanda DUN Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka sejak awal pagi Isnin semakin surut bagaimanapun mula memburuk di daerah Jasin.

Sehingga kini, sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu dua di Alor Gajah dan satu di Jasin yang menempatkan 154 mangsa daripada 33 keluarga.

Tiga pusat pemindahan di Alor Gajah iaitu Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulai menempatkan 58 mangsa daripada 14 keluarga.

Manakala satu PPS di Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan Tehel menempatkan 96 mangsa daripada 19 keluarga.

Tinjauan di daerah Alor Gajah mendapati, ada antara mangsa banjir yang telah mula pulang ke rumah bagi membersihkan kediaman masing-masing.

Seorang pemandu lori, Amiruddin Idris berkata, ketika air mula memasuki rumahnya, dia sekeluarga pulang ke kampung halaman isteri di Batu Pahat, Johor untuk berhari raya.

Dia hanya dimaklumkan berhubung kejadian itu selepas menerima panggilan daripada jirannya sebelum bergegas pulang semula ke Melaka.

Kediamannya yang dimasuki air separas pinggang itu merosakkan hampir 80 peratus barangan di rumahnya termasuk perabot dan barang elektrik serta motosikalnya yang kebetulan diletakkan di bahagian bawah rumah.

Dalam sayu, jelas Amiruddin, tentunya mood untuk menyambut hari raya bersama keluarga lenyap.

Bagaimanpun dia redha dan menganggap kejadian pertama yang dialami keluarganya itu sebagai ujian daripada Allah.

“Mood nak raya dah hilang lah, barang keadaan rumah kita dah macam ni. Sedihlah hati. Apa nak buat, kan. Ini ujian dari Allah. Kita sabra sajalah.

“Ini pertama kali, saya duduk sini banjir macam ni. Sebelum ini paras buku lali saja, tapi kali ini naik mendadak terlalu tinggi lah,” ujar Amiruddin.

Perasaan sama turut dikongsi seorang surirumah Zaitun Suman, 50, yang tidak menyangka terpaksa menyambut raya di pusat pemindahan.

“Kebetulan pula tahun ini hari raya pertama dah berjalan. Ingatkan hari raya kedua hendak (duduk di rumah) tunggu tetamu saja. Tak sangka hujan lebat Sudah jadi macam ini, tak adalah (beraya),” keluh Zaitun.