Mangsa banjir di beberapa buah kampung di Changkat Jong, Teluk Intan menyifatkan banjir kali ini agak luar biasa kerana airnya lambat surut.

Ia dikatakan berpunca hujan lebat setiap hari di Sungkai dan Bidor yang menyebabkan aliran air Sungai Sungkai dan Sungai Bidor bertembung di Changkat Jong dan melimpah ke kampung-kampung berhampiran.

Keadaan ini menyebabkan mangsa banjir terpaksa tinggal lebih lama di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, berbanding sekitar tiga hari sebelum ini.

Sehingga petang Selasa, seramai 233 mangsa daripada 63 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan itu yang dibuka sejak Jumaat lalu.

Walaupun banjir mula surut di beberapa tempat, penduduk masih bimbang untuk pulang ke rumah kerana pernah berlaku beberapa kali sebelum ini mereka terpaksa kembali semula ke pusat pemindahan kerana banjir berulang.

“Nanti kalau dah balik rumah, (berlaku) apa-apa hal, susah juga. Bak kata orang, kalau kat sini, susah payah masih ada jiran. Sama-sama kita susah payah,” kata seorang penduduk, Ramlah Yaacub kepada Astro AWANI.

Selain itu, mangsa banjir turut merayu pihak berkuasa, agar mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di tempat mereka sehingga tiga atau empat kali tahun.

“Saya mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya menyelenggara sungai-sungai atau pasangkan sangkar di sungai-sungai ini supaya airnya tidak melimpah masuk ke kampung,” kata seorang lagi penduduk, Mohd Ali Omar yang juga pengusaha lading sawit.

Selain di Teluk Intan, seramai 53 mangsa daripada 13 keluarga turut dipindahkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobat di Bagan Serai, sekali gus menjadi jumlah keseluruhan mangsa banjir di Perak meningkat kepada 286 sehingga 5.30 petang Selasa.