Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Perak terus meningkat kepada 54 orang daripada 14 keluarga, melibatkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kerian.

Menerusi aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8.35 malam, seramai 44 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Bagan Serai.

Ia menunjukkan peningkatan mangsa di PPS berkenaan berbanding hanya 23 penduduk membabitkan empat keluarga pagi tadi.

Berdasarkan aplikasi itu lagi, 10 orang daripada empat keluarga masih kekal ditempatkan di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai.

"Kesemua mereka yang ditempatkan di dua PPS berkenaan melibatkan 21 lelaki, 15 wanita, lima kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan," menurut aplikasi itu.

-- BERNAMA