Agensi pelancongan diharap dapat mengambil tindakan segera berhubung insiden banjir di Pulau Pinang dengan memastikan tiada rombongan pelancong yang berada dalam seliaan mereka mendapat musibah daripada kejadian itu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini penting kerana terdapat kemungkinan kawasan-kawasan pelancongan di negeri itu terjejas sedikit akibat bencana berkenaan.

"Mereka harus memikirkan kaedah untuk memastikan perkara ini. Salah satunya, mungkin boleh mendapatkan maklumat terperinci daripada pusat khidmat banjir supaya rombongan-rombongan ini tidak melawat tempat-tempat yang terkena banjir.

"Selain itu, kalau boleh, pindahkanlah mereka ke tempat yang lebih selamat," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kraf Johor di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu sama ada insiden banjir terbabit akan turut menjejaskan tempat pelancongan di Pulau Pinang.

Menurut Mas Ermieyati, sebagai Ketua Puteri UMNO, beliau melahirkan rasa simpati kepada seluruh mangsa terlibat dan berharap mereka terus tabah dalam menghadapi ujian tersebut.

Pada masa sama, beliau juga sudah mengarahkan Skuad Puteri Peduli Malaysia untuk sama-sama turun padang dengan Puteri UMNO dan juga Barisan Nasional Pulau Pinang bagi mencari serta menjadi sukarelawan bagi membantu mangsa banjir.

"Sukarelawan ini berkhidmat semasa musim bah dan juga selepas musim bah bagi membersihkan kawasan-kawasan terjejas.

Kita mensasarkan kira-kira 1,000 sukarelawan akan menyertai usaha ini bagi memberi bantuan makanan kepada 14 kawasan Parlimen di negeri itu," katanya.

Hujan lebat dan angin kuat kira-kira lima jam sejak 2 petang semalam mengakibatkan hampir keseluruhan kawasan rendah di negeri itu dinaiki air setinggi 0.2 hingga 1 meter.

Puluhan pokok turut tumbang selain menyebabkan kerosakan harta benda kepada penduduk setempat.

Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Masjid, Jalan P. Ramlee, Sungai Pinang, Lebuh Carnarvon, Jalan Anson, Halaman Bukit Gambir di George Town, Bayan Baru, Bayan Lepas, Batu Feringghi, Balik Pulau dan beberapa kawasan di Seberang Perai.

--BERNAMA