Semua pihak digesa bersiap siaga dalam berdepan perubahan cuaca serta amaran merah gelombang kedua dan ketiga di utara tanah air bermula petang ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan cuaca itu bukan sahaja melibatkan negeri di Semenanjung tetapi kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga Februari depan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyalurkan maklumat secara menyeluruh termasuk amaran berkaitan perubahan cuaca itu sebagai persediaan operasi menyelamat selain pemindahan segara dapat dilakukan.

"Apa yang berlaku di Pulau Pinang boleh dijadikan pengajaran dan bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Namun, jika MetMalaysia dapat menghebahkan ramalan ini lebih awal, usaha pemindahan segera boleh dilakukan.

"Kesiapsiagaan 100 peratus ini perlu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara dan jawatankuasa ini akan menggunakan acuan Pelan Pengurusan Banjir Kemaman kerana acuan ini mengunjurkan seminggu sebelum berlaku untuk kesiapsiagaan dilakukan. Pemindahan secara fizikal dilakukan tiga hari sebelum ia berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Indah, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri menambah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang membuat persiapan akhir berdepan amaran merah gelombang kedua dan ketiga di beberapa kawasan di seluruh negara.

Ujar beliau, kemudahan dan bantuan untuk mangsa banjir pula berada pada skala tujuh daripada 10 serta pihaknya akan memastikan semua barangan keperluan dan peralatan dapat disalurkan kepada mangsa dengan segera.

Katanya, beliau turut mengarahkan pendaftaran segera mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan dapat disiapkan sebelum pukul 10 pagi esok kerana tidak mahu kelewatan bantuan kewangan kepada mangsa.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata usaha kerajaan membantu Kerajaan Pulau Pinang jelas membuktikan bahawa perbezaan politik bukan menghalang mereka dan akar umbi untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.