Peruntukan RM1.8 juta disediakan untuk menyiapkan stok bekalan bantuan banjir di Terengganu bagi menghadapi musim tengkujuh akan datang, kata Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

Beliau berkata, stok bekalan barangan keperluan itu sedang dalam proses pengedaran ke 142 stor pangkalan hadapan dan 20 depot mini di seluruh negeri.

Antara lain, daerah Hulu Terengganu mempunyai stor pangkalan hadapan terbanyak di 50 lokasi diikuti Setiu (24), Kemaman dan Besut (masing-masing 18), Marang (16) dan Dungun (14).

"Setakat ini, 553 pusat pemindahan termasuk sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti untuk penduduk terjejas banjir disediakan dengan kemampuan menampung kapasiti 131,875 orang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di sini pada Rabu.

Menurut Jabatan Meteorologi, fenomena Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula awal November 2018 sehingga Mac tahun depan yang akan menyebabkan banjir di kawasan berisiko di Terengganu seperti kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.

Mengulas lanjut, A. Rahman berkata 2,293 anggota daripada enam jabatan dan agensi kerajaan akan bertugas sepanjang bencana itu merangkumi 820 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (657), Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (422), RELA (252), Angkatan Tentera Malaysia (120) serta Agensi Penguatkuasaan dan Maritim Malaysia (22).

-- BERNAMA