Seramai 626 orang mangsa melibatkan 218 keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir kilat di daerah ini masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang tadi.

Tiga PPS berkenaan adalah Dewan SMK St. Patrick, Dewan Serbaguna Membakut dan Bangunan Kafa Membakut.

Pegawai Daerah Beaufort selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Mohd Shaid Othman berkata, ramalan daripada Jabatan Metereologi hari ini turut mencatatkan paras air laut pada tengah hari ini berada di paras berjaga-jaga dan pihaknya juga telah memberikan amaran kepada penduduk sekitar agar sentiasa berwaspada bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

“Setakat hari ini, mangsa banjir (adalah daripada) 218 keluarga yang berjumlah 626 orang.

“Kita melihat keadaan laut pun begitu tinggi mungkin pada tengah hari ini, jadi kalau mangsa-mangsa ini masih lagi berada di tempat ini saya harap semua mereka dapat bersabarlah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media di Perpustakaan Membakut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shaid berkata, masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan berisiko dilanda banjir dinasihat agar memberikan kerjasama kepada anggota keselamatan bagi memudahkan operasi menyelamatkan mangsa dapat berjalan dengan lancar.

“Kerjasama daripada penduduk adalah penting bagi memudahkan operasi memindahkan mangsa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku terutama sekali apabila proses pemindahan dibuat pada waktu malam,” ujarnya.

Terkini, situasi banjir di daerah Membakut belum menampakkan tanda ia menyurut memandangkan keadaan cuaca agak tidak menentu sejak pagi tadi.

Selain daripada jumlah mangsa banjir yang meningkat secara berperingkat, bacaan paras air banjir di daerah itu turut dilaporkan dalam keadaan berjaga-jaga iaitu mencecah 6.04 meter, setakat jam 2 petang tadi.

Untuk rekod, jumlah kampung yang terjejas masih kekal sebanyak 26 buah kampung, manakala lapan laluan menghubungkan perkampungan terjejas turut terputus sejak Rabu lalu.

Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Jambatan Baru, Kampung Papas, Kampung Kayai, Kampung Limadang, Kampung Brunei, Kampung Lampuas, Kampung Takapan, Kampung Pusak, Kampung Baitam dan Kampung Dungau.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul dalam kenyataan medianya hari ini mendedahkan dua sekolah masih kekal ditutup pada hari ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jabang dan SK Kg Brunei berbanding 14 sekolah yang ditutup semalam.