Pembukaan sesi persekolahan 2017 bagi 25 sekolah di Terengganu yang sepatutnya bermula esok terpaksa ditangguhkan susulan banjir yang melanda negeri itu sejak awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata ia melibatkan 2,430 murid sekolah rendah dan 962 pelajar sekolah menengah.

"Bilangan guru yang terlibat pula ialah seramai 490 orang iaitu 365 guru sekolah rendah dan 125 guru sekolah menengah.

"Daripada 25 sekolah itu, 22 terletak di daerah Hulu Terengganu, dua di Setiu dan satu di Marang," katanya kepada Bernama.

Sekolah di Hulu Terengganu yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkawang, SK Kuala Ping, SK Teris, SK Kuala Jenderis, SK Padang Setebu, SK Matang, SK Sungai Buloh, SK Sungai Berua, SK Bukit Tadok, SK Lubok Periuk, SK Nibong, SK Kua.

SK Felda Mengkawang, SK Betong, SK Pereh, SK Felda Tersat, SK Menerong, SK Cheting, SK Padang Setar termasuk tiga sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, SMK Kuala Jenderis dan SMK Tun Indera.

Dua sekolah di Setiu ialah SK Merbau Menyusut dan SK Kampung Besut manakala satu sekolah di Marang ialah SK Sentol Patah.

Mengulas lanjut, Shafruddin berkata daripada 501 sekolah di negeri itu, 13 sekolah telah dinaiki air iaitu satu di Marang (SK Sentol Patah) enam di Hulu Terengganu (SK Teris, SK Tapah, SK Tengkawang, SK Kuala Ping, SK Kua dan SMK Bukit Diman).

Selain itu, katanya, tiga sekolah di Kuala Terengganu (SK Kampung Bukit, SK Undang dan SK Padang Midin), dua di Setiu (SK Merbau Menyusut dan SK KampungBesut) dan satu di Dungun (SK Seri Paka). -- Bernama