Situasi banjir di Terengganu semakin reda dengan menyaksikan bilangan mangsa yang terjejas menurun kepada 1,436 berbanding 2,448 pada Sabtu.

Ia berikutan banjir di beberapa kawasan, khususnya di Besut dan Setiu, mulai surut pagi ini.

Sehingga kini, masih empat daerah sama yang terjejas, iaitu Hulu Terengganu, Setiu, Dungun dan Besut.

Berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 32 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi sehingga jam 7 pagi ini, menempatkan 402 keluarga.

Daerah Besut yang sebelum ini merekodkan mangsa tertinggi sehingga mencecah lebih 1,000, telah menunjukkan penurunan kepada 906 mangsa daripada 228 keluarga.

Mereka semuanya ditempatkan di 24 PPS.

Keadaan banjir di Setiu menunjukkan penyusutan mendadak dengan hanya 62 mangsa masih ditempatkan di tiga PPS.

Sementara itu, mangsa banjir di Hulu Terengganu juga mencatatkan sedikit penurunan, menyaksikan hanya 187 mangsa daripada 74 keluarga terjejas.

Di Dungun, dua PPS masih beroperasi, menempatkan 281 mangsa daripada 78 keluarga.

Pada Sabtu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada peringkat jingga dan kuning terhadap tiga negeri di pantai timur dan Johor.

Ia turut dikeluarkan kepada tiga daerah di Terengganu membabitkan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.